Thursday, February 14, 2008

Menyanggah persoalan cinta pada Hari Valentine

Sesungguhnya tidak ada cinta lebih utama untuk diberikan hanya kepada Allah SWT, kerana sebagai orang Islam, kita diajar oleh al-Quran, bahawa cinta sejati ialah hanya kepada Allah sepertimana yang termaktub dalam ayat 165 surah al-Baqarah, Allah berfirman maksudnya:"Dan di antara manusia ada orang-orang yang menyembah (objek-objek lain) selain Allah, mereka mencintainya sebagaimana mereka mencintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman, mereka benar-benar mencintai Allah."

Jelas daripada penjelasan ayat di atas, mengkhabarkan kepada kita, bahawa cinta orang-orang beriman yang sebenarnya hanya kepada Allah dan Rasul-Nya, ia bukan bermakna cinta antara manusia dengan manusia dilarang oleh agama, terutamanya cinta seorang lelaki terhadap seorang wanita.

Sehubungan itu, baginda Rasulullah s.a.w pernah bertanya kepada Saidina Omar Bin al-Khattab, siapakah orang yang dia kasihi, sambil menyatakan bahawa baginda Rasulullah sebagai orang yang paling dikasihi termasuk anak isterinya, kemudian beliau ditegur oleh baginda dengan sabdanya: Tidak beriman salah seorang daripada kamu, hingga dia mencintai aku lebih daripada mencintai kedua orang tuanya, anak isterinya dan seluruh manusia amnya.

Hari Valentine bunuh semangat cinta kepada agama Apa yang dipaparkan di atas, jelas menunjukkan betapa ancaman Nabi Muhammad itu perlu diambil perhatian serius kepada orang-orang yang beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain.

Ini kerana hari Valentine yang mengajak pasangan lelaki dan perempuan untuk berjumpa serta menunjukan rasa kasih antara satu sama lain dengan pemberian sejambak bunga dan sebagainya adalah lebih cenderung kepada melakukan maksiat kepada Allah SWT, kerana baginda pernah mengingatkan seluruh umatnya, bahawa pertemuan dua pasangan kekasih tanpa orang ketiga menemani mereka adalah terdedah kepada godaan dan bisikan syaitan yang sentiasa mengajak untuk melakukan perkara yang terlarang dalam agama Islam.

Sedangkan pasangan kekasih itu tidak mempunyai hubungan atau pertalian keluarga yang boleh menjuruskan keduanya kepada penentangan hukum Allah SWT dengan duduk berdua-duaan sama ada di taman bunga, di tempat-tempat sunyi yang jauh daripada pengetahuan dan penglihatan orang ramai, memudahkan mereka melakukan perkara yang tidak diingini.

Mereka sanggup menghabiskan masa bukan kerana Allah, juga bukan kerana persoalan agama, malah masa dihabiskan dengan duduk bersembang kosong tanpa tujuan yang jelas, mereka tidak sedar terdedah pada keadaan yang penuh dengan fitnah terhadap agama mereka sendiri, kerana terdapat di kalangan mereka yang berdua-duaan itu yang bertudung kepala, duduk di kawasan yang meragukan banyak pihak, akhirnya terlanjur.

Apabila semangat Valentine itu diaplikasikan dalam realiti hidup pasangan kekasih lebih daripada mengutamakan larangan Allah, maka akan berlaku apa yang tidak sepatutnya berlaku.

Justeru, bagi mereka (khusunya pasangan lelaki dan perempuan remaja Islam) yang masih mahu menyambut hari Valentine yang lebih kepada semangat Kristian, ingatlah firman Allah SWT menerusi ayat 24 surah at-Taubah yang bermaksud : "Katakanlah – Jika bapa-bapa, anak-anak, saudara-mara, isteri-isteri kamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu takut akan kerugiannya, rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalannya, maka tunggulah hingga Allah datangkan keputusan-Nya, Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang Fasiq."

Pemerintah mampu halang dan ubah minda rakyat

Persoalan untuk memastikan pegangan agama rakyat terhadap ajaran Islam adalah terletak di atas bahu golongan pemerintah khususnya para Umno, kerana apabila terdapat mana-mana individu di kalangan rakyat negara ini yang beragama Islam menyambut hari Valentine yang umum tahu bahawa ia adalah hari yang disambut oleh seorang paderi Kristian, maka mereka secara langsung dan mungkin juga tidak langsung bersama dengan Kristian.

Rasulullah s.a.w dalam satu hadisnya pernah bertegas : "Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia termasuk dalam lingkungan kaum tersebut."

Pernahkah golongan pemerintah dalam negara ini telah berusaha keras untuk memberi penerangan kepada rakyatnya khususnya orang-orang Islam akan bahaya hari Valentine untuk disambut, kerana ia ada kaitan dengan masalah akidah.

Tetapi apa yang dapat kita lihat, bagaimana program televisyen pun sibuk menyiarkan filem-filem tentang hari Valentine yang dapat disaksikan oleh umum.

Tidakkah para pemerintah rasa gerun, bahawa mereka telah menyediakan satu wadah yang boleh menjerumuskan manusia kepada tida berpegang kepada Islam sebenar?

Umum telah mengetahui, dewasa ini kerajaan menyediakan ruang dan peluang yang begitu banyak dalam program hiburan keterlaluan, mereka tidak perlu berdalih lagi, kerana semua tindakan itu telah dirakam oleh Malaikat untuk didedahkan di mahkamah Allah pada hari Kiamat nanti.

Ketahuilah, bahawa mereka semua boleh tipu manusia, tetapi mereka lupa bahawa mereka tidak berupaya untuk menipu Allah, antara tipuan yang dilakukan ialah tidak mahu melaksanakan hukum Allah, itulah punca sebenar yang dikenal pasti berlakunya kemarahan Allah terhadap diri kita semua. - mks.

Petikan dari Ustaz Zainudin Hashim

Friday, February 08, 2008

Pemergian artis lebih berharga daripada mufti

Saudara Pengarang, Assalamualaikum,
Saya berasa terpanggil untuk menulis di ruangan ini kerana berasa sedih di atas perkara yang berlaku beberapa hari lalu.

Pertamanya, takziah di atas pemergian Dato' Ishak Baharom ke rahmatullah. Beliau adalah seorang ulamak, rakyat dan pejuang Islam. Setelah dipecat daripada jawatannya tiada lagi nama beliau disebut-sebut. Malah, jika ditanya muda-mudi sekarang, berapa ramai sangat yang masih mengingati nama beliau?

Sehinggalah pada hari beliau pergi mengadap Ilahi, siapa yang peduli tentang beliau? Satu keratan di sudut kecil akhbar melaporkan kehilangan tokoh ini seolah-olah hanya satu laporan biasa mengenai kematian seorang ketua kampung yang pernah berjasa hanya dengan memegang jawatan JKKK.

Pada tarikh yang sama, seorang penulis lirik terkenal juga kembali mengadap Ilahi sehari selepas beliau memenangi satu anugerah yang paling berprestij di Malaysia, iaitu AJL2007.

Di semua dada akhbar dan stesen radio membuat pengumuman rasmi disertai tangisan setiap warga seni serta peminat berkenaan kehilangan permata dalam bidang seni yang kononnya sukar dicari ganti.

Sedangkan, siapa peduli walaupun seorang bekas mufti meninggal dunia? Siapalah mufti atau ulamak di mata masyarakat kita?

Ulamak dimatikan, ilmu berkurangan

Dalam nas hadis, banyak ditemukan petanda yang menyebut bahawa salah satu tanda-tanda hampirnya kiamat ialah ilmu akan hilang dan kejahilan meluas. Bagaimanakah ilmu boleh hilang? Antara cara ilmu itu hilang atau diangkat oleh Allah ialah dengan cara mematikan ulamak dan bijak pandai.

Ilmu matematik, ilmu alam dan segala ilmu lain yang tercipta atas kepandaian manusia tidak akan hilang. Yang akan hilang adalah ilmu agama. Ilmu yang melibatkan hukum-hakam, cara hidup ciptaan Allah, fardhu 'ain dan ilmu al-Quran yang hanya sebilangan kecil saja manusia yang menguasainya. Hanya golongan ulamak sahaja yang menguasai ilmu ini.

Apabila matinya seorang ulamak, maka pergilah ilmu itu dan kepandaian yang dipelajarinya bersama jasadnya. Golongan yang tinggal ini, jika tidak menguasai ilmunya kini hilang tempat rujukan, maka jalan ke arah kejahilan mula tampak.

Apabila tiada tempat rujukan maka kejahilan mula berleluasa. Hukum-hakam ditafsir secara membuta tuli dan sebagainya. Itulah antara cara bagaimana Allah mengangkat ilmu, iaitu dengan cara mematikan para ulamak.

Tidakkah ini satu tanda jelas pengakhiran dunia? Siapa sedar akan hakikat ini? Atas dasar itulah tiada yang menangisi pemergian ulamak sedangkan berapa ramai yang kelam-kabut dengan pemergian seorang insan seni?

Tanyalah anak-anak kita hari ini dan kita akan dapati hampir semuanya arif tentang artis, bila tarikh lahirnya, siapa pasangannya, apa saja biodata artis pastinya mereka tahu. Tapi, berapa ramai anak-anak kita tahu tentang ulamak? Kitab apa dan ilmu apa yang didalami ulamak tersebut?

Ketahuilah saudaraku, bahawa antara tanda kiamat itu adalah apabila masyarakat mula memuja-muja artis. --- aba.


Petikan dari Harakhdaily.com oleh Zulhusainy Eslam

Notes ; Setiap hari kita di saji dengan bermacam bentuk hiburan tak kiralah samada ianya di zahirkan melalui penglihatan, pendengaran mahupun juga pergerakan....Manusia tidak akan dapat lari bila mana semua itu berlaku di depan mata melainkan manusia yang mempunyai hati yang kental melawan kehendak duniawi ini...Kadang2 bermacam-macam dugaan melanda kita namun percayalah bahawa semua itu dugaan yang datang dari maha esa terhadap hambanya....Tepuklah dada dan tanyalah selera yang mana anda inginkan samada dunia lebih baik atau akhirat yang kekal abadi pilihan anda.....

Megasutra - Portal Santapan Minda.

Kindly don't judge me with my blog...All the articles is my self expression as a human...The contents in this blog hopefully will not make all of you vex with me...

(c) 2007 tmnasir


(c) 2006 Mohamad Nasir B Tonny