Saturday, November 11, 2006

Wanita Pertama masuk Syurga

Pada suatu hari Rasulullah s.a.w memberitahu kepada anak perempuan kesayangannya iaitu Siti Fatimah az-Zahra' tentang adanya seorang perempuan yang akan dimasukkan Syurga terlebih dahulu berbanding diri Siti Fatimah itu sendiri sedangkan dia digelar penghulu wanita Syurga. Siti Fatimah merasa cemburu tentang perkara ini lalu bertanya kepada ayahandanya tentang diri perempuan itu bertujuan untuk mengetahui apakah amalannya sehingga dia layak memasuki syurga terlebih dahulu.

Selepas mengetahui tentang kedudukan perempuan itu lalu Siti Fatimah menuju ke rumahnya. Apabila sampai lalu Siti Fatimah meminta izin untuk memasuki rumah itu tetapi perempuan itu tidak mengizinkannya kerana dia belum mendapat izin terlebih daripada suaminya yang tiada di rumah pada ketika itu kerana bekerja. Tetapi dia meminta agar Siti Fatimah datang pula keesokan harinya selepas dia mendapat keizinan daripada suaminya dan Siti Fatimah tanpa banyak soal bersetuju untuk datang semula keesokan harinya.

Pada hari esoknya Siti Fatimah datang bersama anaknya Hasan ke rumah perempuan itu dan apabila meminta izin untuk masuk lalu perempuan itu sekali lagi tidak membenarkan Siti Fatimah untuk memasuki rumahnya atas alasan dia hanya meminta izin daripada suaminya untuk menerima Siti Fatimah sahaja sebagai tetamu sedangkan untuk anaknya Hasan belum lagi diminta. Dia untuk kali kedua memohon agar Siti Fatimah datang keesokan harinya setelah dia meminta izin daripada suaminya untuk menerima kunjungan Siti Fatimah bersama anaknya Hasan.


Pada keesokan harinya pula Siti Fatimah datang bersama dua orang anaknya iaitu Hasan dan Husin ke rumah perempuan itu dan apabila meminta izin untuk masuk lalu perempuan itu untuk kali ketiganya tidak membenarkan Siti Fatimah untuk memasuki rumahnya atas alasan dia hanya meminta izin daripada suaminya untuk menerima Siti Fatimah dan anaknya Hasan sahaja sebagai tetamu sedangkan untuk anaknya seorang lagi iaitu Husin belum lagi diminta. Dia untuk kali ketiga memohon agar Siti Fatimah datang keesokan harinya setelah dia meminta izin daripada suaminya untuk menerima kunjungan Siti Fatimah bersama anaknya Hasan dan Husin.


Pada keesokan harinya barulah Siti Fatimah bersama kedua anaknya itu dibenarkan masuk. Belum pun Siti Fatimah bertanya lebih banyak tentang diri perempuan itu tiba-tiba perempuan itu bangkit daripada tempat duduknya lalu mengambil sebatang tongkat dan sebotol air dan berdiri di depan pintu. Rupa-rupanya dia menanti ketibaan suaminya yang baru pulang dari tempat kerja. Apabila suaminya semakin hampir dengan rumahnya lalu perempuan itu menyingkap sedikit kainnya sehingga nampak betisnya. Siti Fatimah berasa hairan dengan perbuatan yang sedang dilakukan oleh perempuan itu.


Setelah suaminya memasuki rumah lalu perempuan itu duduk kembali bersama dengan Siti Fatimah. Apabila ditanya oleh Siti Fatimah tentang beberapa perbuatan peliknya lalu perempuan itu menjelaskan satu-persatu tentangnya. Pertamanya dia memegang tongkat agar suaminya yang baru balik dari tempat kerja dapat memukulnya jika dia ada tersilap melakukan suatu perkara yang tidak dibenarkan oleh suaminya. Keduanya dia memegang botol agar suaminya yang baru pulang dapat menghilangkan dahaga dengan air itu. Manakala dia bertindak menyingkap kain agar suaminya dapat menikmati kecantikan isterinya di mana jika suaminya mahu melakukan hubungan suami isteri maka dia sentiasa bersedia melayannya. Setelah mendengar penjelasan daripada perempuan itu lalu Siti Fatimah merasa kagum dan membenarkan dalam hatinya tentang kelayakan perempuan itu untuk dimasukkan Syurga lebih awal daripada dirinya.


Kemudian Siti Fatimah bertemu ayahandanya dan diceritakan tentang amalan perempuan itu yang menyebabkan dia layak memasuki Syurga lebih awal. Nabi tersenyum lalu menjelaskan bahawa walau pun perempuan itu memasuki Syurga terlebih dahulu tetapi dia tidak mampu menyaingi Siti Fatimah sebagai penghulu Syurga kerana Siti Fatimah agak lewat memasuki Syurga kerana dia menaiki kuda sedangkan perempuan itu akan menariknya. Memang sudah menjadi kebiasaan bahawa setiap orang menarik kuda akan berada di hadapan sedangkan orang yang menaiki kuda akan berada di belakangnya. Mendengar penjelasan daripada nabi lalu Siti Fatimah menjadi lebih gembira.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home

Megasutra - Portal Santapan Minda.

Kindly don't judge me with my blog...All the articles is my self expression as a human...The contents in this blog hopefully will not make all of you vex with me...

(c) 2007 tmnasir


(c) 2006 Mohamad Nasir B Tonny