Wednesday, November 22, 2006

Adam Nehru tertarik kepada solat

Oleh ZUARIDA MOHYIN

ADAM Mehru Abdullah memotretkan kenangan indah hari bahagia bersama keluarga mertua dan keluarga angkat.
--------------------------------------------------------------------------------

PEGAWAI Sumber Manusia di sebuah syarikat swasta di ibu negara, Adam Nehru Abdullah, 30, memeluk Islam pada 1 Mac tahun lalu, sungguhpun mengenali Islam dan tertarik dengan disiplin ajaran itu semenjak di tingkatan dua lagi.

Berkongsi kisah yang membawa kepada pengislaman cerita pemuda kelahiran Slim River, Ipoh ini, faktor persekitaran merupakan tarikan pertama yang mencetus minat awalnya ketika itu. Malah semakin meningkat dewasa, Adam berusaha mencari ilmu berkaitan Islam secara lebih mendalam dan serius sama ada menerusi pelbagai bentuk media massa.

Katanya, semasa zaman persekolahan dulu, terutama ketika menuntut di Sekolah Menengah Sungai Besi, Kuala Lumpur, beliau banyak bergaul dengan teman-teman beragama Islam. Boleh dikatakan banyak masa ketika itu dihabiskan dengan mereka tidak kira waktu sekolah atau di luar sekolah.

“Pergaulan akrab ini secara tidak langsung mendedahkan saya kepada cara hidup masyarakat Melayu beragama Islam. Satu yang saya tertarik ialah apabila melihat mereka bersembahyang lima waktu sehari. Yang pastinya amal ibadat seperti ini tidak ada dalam agama lain.

“Apa yang lebih menakjubkan, walaupun teman-teman saya suka berseronok-seronok seperti melepak dan berborak tetapi apabila tiba waktu sembahyang mereka tidak lupa tanggungjawab melaksanakannya. Malah saya sendiri ada ketikanya terpaksa tunggu mereka di luar masjid atau surau sebelum menyambung aktiviti kami.

“Saya nampak ini satu disiplin yang amat cantik. Lebih-lebih lagi, ia bukannya sekali dilakukan dalam sehari tetapi lima kali. Semangat inilah sedikit sebanyak menyentuh hati kecil saya pada masa itu,” jelas Adam sewaktu ditemui di ibu pejabat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Meskipun minat dan tarikan kepada Islam telah ada namun Adam masih tidak berani meluah apa lagi untuk mempamerkannya secara terbuka terutamanya kepada ibu bapanya.

Apa yang mampu dilakukan ialah sekadar berserah dan berharap Allah memberi kesempatan kepadanya untuk bergelar Muslim suatu hari kelak. Lantaran itu, kehidupan mestilah diteruskan seperti biasa sehinggalah pada usia 25 tahun, Adam mula serius dengan agama Islam.

“Setelah mempunyai pendapatan sendiri, saya menggunakan sebahagian wang gaji untuk membeli buku-buku agama Islam. Pada masa yang sama juga, saya belajar Jawi daripada teman-teman yang mahir mengenai ilmu ini.

“Dalam tempoh tiga, empat tahun saya semakin memahami dan mendalami ilmu Islam namun satu perkara yang masih menganggu fikiran ialah saya masih belum memberitahu keluarga terutamanya kepada ibu yang telah melahir dan membesarkan saya,” jelasnya.

Kata Adam, selagi ibu tidak mengetahui, perasaannya seperti tidak tenteram dan bersalah. Malah beliau tidak mahu memeluk Islam dahulu, kemudian baru memberitahu keluarga kerana beranggapan cara sedemikian tidak adil bagi mereka.

“Saya sanggup terima segala kemungkinan asalkan keluarga tidak dibelakangkan. Biarlah mereka lakukan apa sahaja waima dimarah atau disisihkan tetapi saya bertekad memberitahu mereka akan hasrat dan pilihan saya,” kata anak sulung daripada empat adik-beradik ini.

Adam yang berjawatan Perunding Insurans di sebuah agensi swasta setahun sebelum melafazkan syahadah, memberanikan diri memberitahu ibu. Dalam keadaan ini, lumrah yang berlaku ialah timbul sedikit ketegangan dan kemarahan di pihak keluarga kandung. Mereka pastinya kecewa dan sedih dengan tindakan anak, apatah lagi Adam adalah anak sulung dan harapan keluarga.

Bagaimanapun, Adam meyakinkan ibunya agar merestui pilihan beliau kerana itulah yang beliau mahukan.

Di samping itu, beliau menegaskan bahawa perbezaan agama tidak bermakna terputusnya hubungan darah atau kekeluargaan. Malah hakikatnya, Islam adalah agama yang amat menitik beratkan soal menjaga hubungan silaturahim terutamanya kepada ibu bapa.

Alhamdulillah, Adam bersyukur kerana akhirnya ibunya menerima keputusan pengislaman itu. Malah akuinya lagi sehingga kini ibunya sangat prihatin tentang penyediaan makanan halal, tempat tinggal, tempat sembahyang kerana beliau masih tinggal dengan keluarga kandung.

Ditanya perasaannya sebaik sahaja bergelar Muslim, Adam mengakui, keseronokan dan kepuasannya hanya Allah yang lebih mengetahui apatah lagi, hasrat tersebut dipendam sejak sekian lama.

Malah ibadat puasa dan sambutan raya merupakan suatu pengalaman baru biarpun sebelum ini beliau mencubanya. Malah, beliau mengakui akan perbezaan jika diamalkan dengan penuh keikhlasan atau dalam erti kata Islam sebenar.

Kehidupan Adam semakin bermakna dan bermatlamat selepas bertemu jodoh dengan guru di Sekolah Menengah Teknik, Shah Alam, Selangor, Rashidah Mohd. Rasul, 25.

“Isteri banyak memberi tunjuk ajar lebih-lebih lagi dalam soal amal ibadat. Saya bersyukur memiliki seorang isteri yang bukan sahaja baik tetapi banyak membantu untuk bergelar Muslim sejati.

“Beliau juga yang mendorong saya agar terus menambahkan ilmu di dada. Oleh itu pada setiap Sabtu dan Ahad selama dua jam, seorang ustaz akan mengajar jawi dan al-Quran di rumah,” kata Adam yang menyimpan hasrat bergelar pendakwah.

Nasihat Adam kepada yang mempunyai keinginan memeluk Islam agar tidak menyembunyikan berita pengislaman terlalu lama, seelok-eloknya memberitahu awal kerana dibimbangi ia akan mengeruhkan lagi suasana.

Beliau yakin Allah akan sentiasa membantu sekiranya kita ikhlas dan benar-benar mahukan Islam. Tindakan seperti disisih keluarga dan teman-teman anggaplah ia sebagai cabaran dan dugaan yang pastinya akan membawa pengertian tentang kemanisan iman.

Di samping itu, nasihat Adam kepada saudara baru agar mengambil inisiatif belajar ilmu agama demi memantapkan keimanan kerana bergelar saudara baru, kehidupan mereka tidak lari daripada pelbagai dugaan. Beliau khuatir sekiranya iman nipis, syaitan mudah memesongkan seseorang itu.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home

Megasutra - Portal Santapan Minda.

Kindly don't judge me with my blog...All the articles is my self expression as a human...The contents in this blog hopefully will not make all of you vex with me...

(c) 2007 tmnasir


(c) 2006 Mohamad Nasir B Tonny