Friday, September 22, 2006

Jagalah Perilakumu ketika BERPUASA

LIDAH dan mulut adalah anggota zahir terpenting yang mesti dijaga, terutama ketika berpuasa.

Dalam hal ini kerana banyak hadis yang menasihatkan agar lidah dan mulut dijaga dan dikawal dengan baik agar tidak terlanjur ketika berkata-kata.

Memelihara lidah adalah dengan menjauhi daripada mencarut, banyak ketawa, memfitnah, berkata-kata kasar, berbohong dan berpura-pura.

Nabi Muhammad saw bersabda bermaksud: "Puasa adalah perisai, maka janganlah kamu mencela dan berkata-kata kotor." (Hadis riwayat Abu Hurairah).

Sebagai langkah mengelakkan daripada pelakuan tidak berfaedah yang bermula daripada kejahatan lidah, Islam menyarankan supaya seseorang itu mengambil langkah berdiam diri dan mengunci mulutnya bagi memastikan dosa lidah itu tidak berlaku.

Umat Islam diminta mengawal lidah daripada bercakap yang sia-sia. Asal saja mahu bertutur, pastikan bahawa ia tidak akan membawa kepada mudarat, terutama jika membabitkan hubungan dengan orang lain.

Malah, ada kalanya lebih baik seseorang itu tidur bagi menjaga pancaindera daripada melakukan dosa dan maksiat, tetapi dalam kadar yang ada batasannya. Janganlah tidur secara berlebih-lebihan hingga mutu amal tidak dapat dikekalkan sebaiknya.

Dosa yang bermula daripada bahana mulut pada Ramadan boleh mengurangkan, malah mungkin sampai ke tahap membatalkan pahala puasa. Perkara ini merujuk kepada hadis yang dikeluarkan oleh at-Tirmizi bahawa Rasulullah bersabda maksudnya:

"Sesiapa yang tidak dapat meninggalkan daripada berkata-kata sia-sia dan selalu beramal dengannya, maka tiada apa yang diharapkan oleh Allah walaupun ketika itu dia meninggalkan makan dan minumnya (berpuasa )." (Hadis riwayat Abu Hurairah)

Dalam kitab Bahr al-Mazi yang menghimpunkan hadis dikeluarkan oleh Imam at-Tirmizi ada disebutkan enam perkara yang boleh menjamin kesempurnaan puasa, semuanya berkait rapat dengan anggota zahir dan batin manusia iaitu:

Memejamkan mata daripada membuat maksiat;

Memelihara lidah daripada membuat maksiat;

Menjauhkan telinga daripada membuat maksiat;

Menegah tangan dan kaki daripada membuat maksiat;

Jangan terlalu banyak makan sewaktu berbuka puasa; dan

Hati yang bergantung kepada Allah antara mengharap dan perasaan takut kepada-Nya.

Orang yang berpuasa bukan sekadar dikehendaki menjaga mulutnya daripada berkata-kata kotor dan lucah serta melampau, malah dituntut mengawal mulutnya daripada membalas kejahatan mulut orang lain.

Rasulullah dalam pendidikannya mengambil berat persoalan supaya tidak membalas kejahatan dengan kejahatan kerana ia tidak akan menyelesaikan sebarang permasalahan, malah akan lebih memburukkan keadaan yang tidak akan ada kesudahannya.

Dalam hadis diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah bersabda maksudnya: "Jika ada orang berkata-kata kotor kepadanya, maka katakan kepada orang itu bahawasanya aku ini berpuasa."

Hikmah Rasulullah menyarankan demikian untuk mengelakkan perkelahian dan perbalahan antara dua pihak saudara seIslam pada bulan mulia ini demi menjaga kesucian Ramadan.

Ulama ada menyebut bahawa antara punca hilangnya pahala disebabkan kegagalan menjaga anggota pancaindera ketika berpuasa.

Sedekah hanya dapat dilakukan oleh anggota tangan. Bacaan dan tadarus al-Quran adalah gabungan hubungan antara lidah, mulut dan mata. Kaki pula akan sentiasa mendorong manusia melangkah ke rumah Allah untuk beribadat sama ada solat fardu, sunat atau Tarawih pada Ramadan.

Ini menunjukkan fungsi serampang dua mata anggota pancaindera manusia. Jika baik fungsi dan kegunaannya, maka pahala yang bakal diperoleh. Begitu juga sebaliknya, segala amalan dalam Ramadan akan terhapus angkara perbuatan pancaindera.

Semoga kecemerlangan puasa yang dimulakan dengan niat suci itu terpelihara mulai dari sahur hingga tiba waktu berbuka dan diteruskan hingga ke malamnya, seterusnya sepanjang Ramadan ini.

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]

<< Home

Megasutra - Portal Santapan Minda.

Kindly don't judge me with my blog...All the articles is my self expression as a human...The contents in this blog hopefully will not make all of you vex with me...

(c) 2007 tmnasir


(c) 2006 Mohamad Nasir B Tonny